Sejarah membuktikan bahawa songket mempunyai kedudukan dan peranannya yang teristimewa dalam sosio-budaya masyarakat di rantau Melayu. Songket sering dikaitkan dengan kesenian istana. Pada mulanya songket ditenun khas untuk kegunaan Diraja dan golongan bangsawan dengan gubahan pemakaian benang sutera dan benang emas. Ia meletakkan suatu bentuk sistem pemakaian, makna hirarki dan status dalam masyarakat.
Apakah Songket?
Songket merupakan sejenis kain yang biasanya ditenun tangan, dan mempunyai corak rumit daripada benang emas atau perak. Industri tenunan songket ini telah berkembang pesat terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur seperti di Terengganu, Pahang dan Kelantan.
Motif Songket
Motif corak atau bunga songket diilhamkan daripada pemerhatian pada alam semulajadi dan juga benda dipersekitaran. Para penenun songket biasanya datang dari desa atau kampung dimana songket sememangnya diusahakan dikampung-kampung secara tradisonal. Oleh yang sedemikian, motif-motif songket adalah berdasarkan kepada tumbuh-tumbuhan, haiwan, persekitaran alam, benda, objek dan kuih-muih.
Terdapat juga kajian daripada pakar yang mengkategorikan corak songket kepada 9 jenis iaitu:
- Songket bunga penuh
- Songket bunga bertabur
- Songket corak berjalur
- Songket corak berdiri
- Songket corak melintang
- Songket corak siku keluang
- Songket corak tapak catur
- Songket corak pucuk rebung
- Tepi kain
Motif yang terdapat pada songket Terengganu
Sumber:Muzium Negeri Terengganu
Pemakaian Songket kini
Sejajar dengan sejarahnya, songket masih tergolong sebagai busana yang berprestij meskipun ada usaha untuk merakyatkan pemakaiannya. Hari ini, pemakainya lebih menyeluruh, tidak terhad kepada kerabat diraja. Cara pemakaiannya juga lebih meluas, bersesuaian dengan majlis begitu juga corak dan motifnya yang semakin kontemporari, sesuai dengan perubahan dan peredaran masa. Suasana yang melatari songket kini turut berubah selaras dengan peredaran masa.
Kini, usaha untuk memastikan kesinambungan industri songket masih berterusan dan secara relatifnya berjaya mencapai tahap yang memuaskan sehingga songket semakin popular digunakan sebagai busana majlis perkahwinan, hantaran perkahwinan, perayaan, pertabalan, mengangkat sumpah jawatan tertinggi kerajaan, anugerah pingat kebesaran, pakaian (jubah) konvokesyen, cenderahati dan hiasan dinding.
Element Songket pada busana pengantin
Sumber: PP Signature
Ertinya, pemakaian tersebut banyak tersimpul pada makna dan pengertian budayanya iaitu satu cerminan susun atur dan sistem etika yang diwarisi masyarakat Melayu sejak dari dahulu lagi. Ketertiban ini juga menjelaskan bahawa ia bukan sekadar pakaian bagi memenuhi fungsi tertentu tetapi sebagai mewakili budaya bangsa yang kaya dan tinggi dengan nilai dan martabatnya.
Sumber
Artikel:
1) songketbywarisankhalifah.blogspot.com
2) eJournal@UM-songketmelayu:serumpun bangsa sesantun budaya