icon-search
icon-search

Selamat Hari Guru

Selamat Hari Guru

Saban tahun, Hari Guru akan disambut pada 16 Mei setiap tahun bagi menghargai pengorbanan guru-guru dalam mendidik anak bangsa. Apakah tema hari guru bagi tahun 2024? Tema sambutan hari guru untuk tahun 2024 yang telah diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia ialah “Guru Jauhari Digital Aspirasi Negara Madani”. Tema yang dipilih adalah untuk menyokong salah satu daripada 7 Teras Nadi Keunggulan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), iaitu peningkatan keupayaan pendidikan digital di sekolah, untuk memastikan murid dapat menghadapi cabaran dunia digital dengan lebih baik. 

Mengapakah tarikh 16 Mei ini telah dipilih sebagai sambutan Hari Guru di Malaysia?

Tarikh 16 Mei dipilih kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956, Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai Dasar Pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai LAPORAN RAZAK (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak hari itu.

Jika ditelusuri penulisan ini, LAPORAN RAZAK mengandungi beberapa elemen pendidikan seperti mengembangkan sistem pendidikan agar jurang perbezaan antara kaum dapat dikurangkan. Selain itu, ianya juga bertujuan untuk menyediakan kemudahan pendidikan yang mencukupi untuk melahirkan masyarakat yang berdisplin, terlatih, liberal dan progresif. Bukan itu sahaja, laporan itu turut mengetengahkan usaha untuk mewujudkan sistem pengurusan pendidikan yang lebih cekap dan berkesan. Itulah sebabnya 16 Mei dipilih sebagai tarikh untuk semua orang menghargai guru-guru seluruh negara atas segala jasa-jasa mereka.

Objektif pelaksanaan sambutan Hari Guru di Malaysia adalah seperti berikut:

  1. Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.
  2. Menarik perhatian ibubapa, murid dan orang ramai terhadap peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.
  3. Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru. 
  4. Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat. 
  5. Memberi peluang untuk memajukan guru kecekapan melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru. 
  6. Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.

Sambutan Hari Guru juga merupakan salah satu sambutan yang paling dinantikan oleh para pelajar. Kebiasaanya ketika hari sambutan tersebut, para pelajar akan membuat persembahan sebagai tanda pernghargaan kepada para guru. Tidak lupa juga, guru-guru yang turut terlibat dalam persembahan atau semasa penyediaan Sambutan Hari Guru. Sudah menjadi tradisi dimana akan ada pelajar yang memberi hadiah kepada guru-gurunya. Tradisi ini telah sebati di dalam diri pelajar sebagai salah satu cara untuk menghargai jasa guru guru mereka.

Di kesempatan ini, Strixe ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para guru di Malaysia ini yang telah bertungkus lumus mendidik agar masa depan negara terus terjamin dan dapat melahirkan generasi-generasi yang cerdik minda serta tinggi budi pekerti. 

Selamat Hari Guru buat semua para guru di Malaysia! Jasamu akan kami kenang. 

 

Sumber Artikel:-

  1. https://www.ipendidikan.my/tema-hari-guru-huraian-definisi.html
  2. https://siakapkeli.my/2022/05/16/patutlah-sambut-hari-guru-16-mei-rupanya-terkait-sejarah-besar-1956/
  3. https://ecentral.my/hari-guru/


Older post Newer post

Your cart is currently empty.
Continue shopping